Ahad, Julai 19, 2009

Japanese 2

Aku tidak sangka, sekeping CD di FitnessFirst dengan label "Japanese 2" rupa-rupanya buah tangan Kurosawa. Aku juga tidak ingat judul terakhir filem Kurosawa yang aku tonton. Tetapi ia macam kompilasi filem-filem pendek. Ada kisah budak laki-laki dengan raja musang di hutan, kisah tentara yang bertemu dalam terowong dan juga, tentang hantu tok nenek orang Jepun. Aku tahu kisahnya bagus.

Oh, sepanjang cuti empat hari selepas pulang daripada Manek Urai, aku tidak memanfaatkan masa dengan sebaiknya. Aku membazir seperti seorang hartawan yang dermawan. Semalam aku ingin menulis satira budak-budak pemakai baju hitam yang diberkas polis. Aku gagal. Aku bertukar menjadi sungguh-sungguh pemalas.

2
Ada ramalan horoskop yang sungguh-sungguh menghantui aku. Seorang virgo, pantas memulakan sesuatu, tetapi jarang dapat menghabiskannya. Macam betul saja.
Posted by Picasa

Sabtu, Julai 18, 2009

Tepi kain, dalam kain


Malam tadi saya menulis di Facebook: Jimadie Shah di antara dua kaca: (1) kaca monitor, (2) kaca TV. Oleh itu ada teman-teman tersalah sangka kononnya saya hendak jadi wartawan penyiaran. Ha, ha, Ha! Ini adalah "kaca" yang hakiki, bukan "kaca" maknawi. Di sebelah laptop ini, kurang 1 meter, ada kaca TV kecil yang selalu kelabu kerana arealnya patah.

2
Begitu juga sajak atau kerja kreatif. Kamu selalu sangka yang aneh-aneh itu selalunya ada makna kedua, yang tersirat. Boleh jadi ia tidak pernah ada langsung. Kamu yang tertipu, memeras otak sampai pening tiga hari tiga malam.

3
Oh, saya tersungguh-sungguh bosan berblog (ini cuma pr dengan kamu saja). Saya mahu cuba blog foto. Semua orang busy body, semua orang penyibuk mahu tahu hidup orang daripada jaga tepi kain sendiri.

Dalam kain aku dan dalam kain kamu sama sahaja. Ha, ha, ha! Kamu kononnya rasa malu.
Posted by Picasa

Isnin, Julai 06, 2009

Durian

Saya tiba di Manek Urai petang tadi. Ia belum semeriah yang saya sangkakan. Kalau mood hari ini berterusan, ia akan jadi sebuah pilihanraya yang tenang dan paling penyantun, sesantun keramahan orang Kelantan, sesantun manis gadis dan perempuannya di desa.

Kami tinggal tidak beberapa jauh daripada bandar Machang. Sepanjang perjalanan, dari Kuala Lumpur ke Bentong, dari Bentong ke Raub, ke Merapoh, ke Gua Musang, ke Kuala Kerai, ke Machang, saya tidak tergoda dengan yang lain, melainkan satu: Durian!

Esok kami akan membalas dendam, selepas tamat penamaan calon. Jaga kau.

Jumaat, Julai 03, 2009

“Katak-katak telah menghuni kepalaku…”

Firman dari balik corong kadbord dan gumpalan kertas, aku mendengarmu bergelintaran dalam kemilau, seperti halo para santo. Bagai matahari agong meratib dan mabokan dalam gelita yang pemalu. Juga diam. Juga dungu.


Baca lanjut tiga sajak -- "Geluk", "Tetes" dan "Pontianak, Isteri dengan Wajah Semurni Tanah" dalam Jalan Telawi.

Selasa, Jun 30, 2009

Cis, Perlisunshine


Tulisan mengenai raja mempelam Perlis tidak boleh padan dari kepala otak saya. Ia, saya fikir mempunyai hubung kait dengan "pengiraan undi penuh emosi" dalam kongres tahunan khas PKR dua minggu lalu.

Apakah kaitan antara mempelam harum manis -- kini Perlisunshine -- dengan pindaan perlembagaan PKR?

Ya, orang sanggup berhempas pulas mensuguhkan suati istilah atau nama baru; tetapi orang tidak bersungguh-sungguh melihat prestasi dan kualitinya.

Parti beginikah yang hendak menjadi alternatif kepada yang sudah sedia ada?

Cis, Perlisunshine!

Isnin, Jun 15, 2009

Membaca media

Kelmarin malam, selepas pulang daripada bertugas di Bangi, saya singgah makan makan malam di Puchong Utama, tidak berapa jauh dari kediaman saya.

Sebelum itu, saya ke kedai 24 jam, 7-Eleven untuk membeli rokok. Seperti biasa, sebelum menguak pintu, saya selalu sempat menjeling ke bahagian akhbar dan majalah.

"Dakwa dua Datuk", itu judul muka depan Utusan Malaysia hari itu.

Di sebelahnya, terdapat gambar besar penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said. Serentak, mucul beberapa persoalan di kepala saya ketika itu.

Pertama, bagaimana A Samad, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Samad, boleh keluar di muka depan akhbar Umno ini?

Kalau beberapa tahun lalu ketika beliau menulis kumpulan sajak "Dirgahayu Dr Mahathir" itu saya boleh terima. Tetapi, ia berlaku tatkala sasterawan, budayawan dan ahli akedemik dilihat begitu lantang mempersoalkan kerajaan, terutamanya dalam isu Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pak Samad malah pernah dilaporkan berkata di blog-blog, "undilah sesiapa sahaja, tetapi jangan undi Umno".

Kedua, timbul persoalan lain: "Kenapa dua datuk ini perlu didakwa?"

Namun apabila membaca beberapa perenggan dalam berita itu, ia sebenarnya menceritakan kisah "dua ahli Umno bergelar Datuk" yang dikatan terlilbat dalam kes rasuah pembinaan projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Persoalan ini mudah dijawab, ingin melariskan akhbar. Tetapi persoalan pertama dilihat begitu sukar ditelaah. Mengangkat dan menonjolkan Pak Samad sebesar itu boleh saja membayangkan PPSMI bakal dimansuh.

Seperti beberapa minggu sebelum dan selepas perhimpunan besar membantah PPSMI pada 7 Mac lalu, apabila akhbar arus perdana tidak mampu blackout berita sebesar ini, mereka melaporkannya dengan sungguh positif.

Seakan-akan mereka tahu, dasar itu akan dimansuh, kerajaan bakal tunduk, dan seseorang perlu mendapat kreditnya. Mereka mendambakannya kerana rakyat sudah hilang kepercayaan kepada media arus perdana, yang tunduk menyerah, layu dan leweh kepada kekuasaan pemerintah.

Tunduk, umpama perempuan yang paling tidak bermaya, dan layu di kelangkangan laki-laki.

Aku bangun seawal jam lapan pagi hari ini, antaranya untuk menulis keluh-kesah ini. Sedangkan ini merupakan hari cuti buatku.

Rabu, Jun 03, 2009

'Jual' tuhan, agama, seks...

Sesudah betapa seriusnya manusia 'menjual' tuhannya, sejak dari zaman tok nadok lagi, sekarang si pelupa (insan) itu mula menjual agamanya. 

Apakah ini juga agenda konsumerisme - kononnya rukun iman kapitalisme - aku juga tidak tahu. 

Sedikit masa lalu, sejurus selepas 40,000 "si baju kuning" membanjiri ibu kota, tiba-tiba kita melibat besar gedabaknya iklan Kopi Bersih di muka depan organ rasmi PKR, Suara Keadilan.`

Begitu juga dengan evolusi kopi di Malaysia, tidak seperti ratusan tahun lalu ketika ia memasuki Eropah, menjana kewujudan salon, perbincangan terbuka dan intelektualiti. 

Evolusi kopi di Malaysia tidak kurang hebatnya apabila munculnya jenama-jenama agong. Antaranya, Kopi Jantan, Kopi Janda, Kopi Ali Guar, bahkan Kopi Tok Guru. Mungkin juga ada Kopi Keras, Kopi Teguh, Kopi Bangkit, Kopi Tegak, Kopi Lintah dan segala macam kopi lagi.

Tetapi bagaimana pula dengan konsumerisme yang menjual ulama? Beli Harakah! Dan belek. Dan baca. 

Jangan malas.

Rabu, Mei 20, 2009

Dunia imaginasi penukang filem yang terlalu asing

Brainscan: Aku Dan Topi Ajaib (2008), Syukur 21 (2000), XX-Ray (1992) dan lain-lain

Bandingkannya dengan filem fiksyen Sains Hollywood semasa, misalnya Push, Star Trek dan X-Men Origins: Wolverine; dan jawab persoalan ini: Kenapa jurang perbezaannya antara kedua-dua jenis produk seni ini nyata berbeza? 

Sedangkan, dalam masa yang sama, jalur seni lain seperti sastera kita membuktikan wujudnya karya seperti Manuklon oleh Rahmat Harun. 

Kenapa? Selain banyak menonton drama ASTRO dan cerekarama TV3, jawapannya ada: Pekerja filem tak baca novel. 

Tak kiralah basaha apa pun. Tak kiralah profesor atau siapa-siapa.

Selasa, Mei 19, 2009

Orang Bionik, Cicakman, Keluang-man, Ultraman (dan lain-lain)

Aku tulis catatan ini setelah mencuri-curi tonton siri televisyen baru Bio-Nik di TV3 malam tadi.

Hero bionik atau Cicakman, atau Keluang-man (dan lain-lain) akan selalu gagal menjadi ikon Melayu. Superhero ala Disney, Marvel Comics, Ultraman adalah superhero di luar biologi budaya kita. 

Bayangkan, bagaimana mampu kita bayangkan, bagaimana mungkin Ultraman itu mendapat kuasa daripada cahaya. Tetapi orang Jepun memahaminya dengan sungguh-sungguh. Bukankah agama mereka Shinto itu satu pengabdian kepada dewa suci matahari yang memberikan kehidupan kepada umat manusia. 

Pahlawan supernatural sebenar kita adalah Badang. Jejaka kampung, miskin dan terhina yang memperoleh kuasa seledang selepas menyantap muntah hantu. Namun, perkara ini tidak pernah menjadi model kepada penciptaan adiwira di Malaysia. 

Kenapa? Banyak sangat menonton ASTRO-kah? 

Mohd Jimadie Shah Othman

Ahad, Mei 17, 2009

Penulis untuk dijual

Ketika masih menuntut, selain faktor ideologi, motivasi utama saya menghasilkan kerja-kerja kreatif hanya satu: Wang.

Sehingga kini, sesekali apabila poket semakin cetek, motivasi itu selalu datang kembali dengan wajah seribu pesona.

Dalam dunia karang-mengarang di Malaysia, banyak pihak mendambakan 'tangan jahat' penulis, daripada pemblog sampai wartawan cabuk.

Sekurang-kurangnya juga, masih ramai yang datang kepada kita dan mengemukakan rayuan tidak berlesen: "kau tulislah macam ini...."

Oleh itu, jika ingin kaya sebagai pekerja kreatif, bersedialah menjual (diri).

***

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga memperuntukan RM2,000 sebagai hadiah pertama supaya mencipta testimoni untuk mereka melalui pertandingan mengarang esei.

"Menjadi satu testimony kepada masyarakat tentang kesungguhan dan iltizam pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam pembangunan hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan," objektif pertandingan itu dipetik.

Tetapi nampaknya, tajuk tunggal yang diberikan "Pembangunan dan kemajuan hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan" terlalu jujur bunyi. Pertandingan mengangkat bakul untuk Jawi.

(Penghormatan dan sanjungan tidak boleh diminta atau dipaksa, tetapi datang daripada hati kecil yang paling suci.)

Bercakap soal Jawi, imaginasi spontan yang terkarang dalam kepala kita, antaranya, pemecatan dua imam popular -- saksi sumpah laknat Mohd Saiful Bukhari Azlan, Ramlang Porigi dan khatib yang menyeru kepada pemerintahan telus dan adil, Firdaus Mohamed Supri.

Hanya itu bayangan segerera saya tentang "pembangunan dan kemajuan hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan" Saudara ada bayangan segera yang lain?

Juga tiada bukan? Selamat menjual.

Mohd Jimadie Shah Othman